Thursday, 31 July 2014

BAB 1: NOVEL KALAU AKU PILIH DIA [KAPD]

BAB 1

Terik panas sang suria yang memancar hampir meragut kesabaran Erlisa. Jam tangannya dikerling acapkali imbasan matanya tidak menemui Elhan. Seraya telefon bimbitnya diraih dari tas tangan dan nombor telefon kekasihnya itu didail.

            Selepas beberapa saat, panggilannya disambut. Belum sempat Elhan menyapa, Erlisa terlebih dahulu memberikan salam. 

“Assalamualaikum, awak. Dah kat mana ni? Tahu tak saya dah lama tunggu kat sini.
Janji nak jumpa jam 2.00, sekarang ni dah 2.30. Awak kat mana ni? Buat geramlah,…” Adu Erlisa. Anak rambutnya yang terjuntai ke hadapan dikuak ke belakang.
           
 “Wa’alaikumsalam, Lisa.… Aik, awak nie… Tahulah rindu, marah-marah pulak. Kita ada janji nak date ke sayang? Tak tahu pun. Mengigau eh,” jawab Elhan yang jelas menyakat di akhir ayatnya itu.
          
  “Ish, awak ni. Nak buat main-main pula. Kalau awak gurau macam ni saya balik laa... Saya tak kisah awak nak main-main, tapi lain kali ajak keluar. No no no… Talk to the hand!” balas Erlisa dengan gaya tapak tangan didepakan ke hadapan seiring dengan ucapnya.

Terlakar senyum di bibirnya yang mungil melayan kekasih hatinya ini. Siapa yang tak kenal dengan perangai Elhan yang suka bergurau dan selamba badak itu. Saat Erlisa ingin mencapai tas tangannya dan duduk di kerusi kayu taman yang diletakkan khas di ruang menunggu, Elhan sudah muncul di belakangnya.

Dengan senyum manisnya, Elhan mencapai tas tangan Erlisa dan berlalu pergi. Erlisa yang terkejut dengan kehadiran Elhan terbangun secara tiba-tiba. Terkedu. Sampai sahaja di hadapan bangunan, Elhan menjerit.

“Laaa….Nur Erlisa Binti Muhammad Ammar, tunggu apa lagi. Cepatlaaah.. Awak ni memang selalu lambat kan, dah laa datang lambat, jalan lambat. Cepatlah…” Bebel Elhan sebelum meneguk air Ribena kegemarannya. Comel lagaknya jejaka ini. Berlari-lari anak Erlisa mendapatkannya.

Erlisa merenggus geram, sempat lagi tangannya mencubit lengan kiri Elhan. Tersedak jejaka tampan itu dibuatnya. “Amboi, berlagaknya. Siapa yang lambat hah Muhammad Elhan bin Muhammad Hizwan? Erlisa mencemik muka dan memandang tepat wajah Elhan.

Saya dah tunggu lama terceruk kat atas tu. Awak ni memang selalu tak tepati janji kan. Janji jam 2 datang jam 3,” jawab Erlisa sambil menolak Elhan yang tersengih menggosok lengannya yang baru sahaja dicubit itu. Tahu sakit!

“Alaaa, sayang… Han tahu awak marah bukan sebab Han lambatkan? Lisa marah sebab rindukan Han…. Awak ni, tak boleh berpisah langsung dengan Han. Masih segar lagi kata-kata awak dulu masa mula-mula mengorat Han, sesaat bagaikan sehari, seminit bagaikan seminggu, sejam bagai,,,” belum sempat Elhan menghabiskan ayatnya, Erlisa merentap kasar tas tangan berwarna hitam dari tangan Elhan dan berlalu pergi mencari-cari kereta Elhan.

“Sudah-sudah laa tu berangan Encik Elhan ooii. Mual tekak ni nak mendengarnya. Awak park kereta kat mana ni?,” Erlisa memalingkan tubuhnya dan matanya tertancap ke arah pemilik wajah yang berkulit sawo matang itu. Mengerutkan dahi menanti jawapan dari Elhan.

“Maaflah sayang… Tadi Han singgah kedai kejap, habis semua kedai Han pergi, nak cari Ribena.. Semua kedai habis stok.. Nasib baik kedai depan kafe tu ada. Awak tahukan saya tak boleh kalau tak minum Ribena ni,” bersungguh-sungguh Elhan menerangkan kepada Erlisa sambil menggoncang botol Ribena yang dibelinya itu. Comel pulak gelagat Elhan. Tersenyum Erlisa melihatnya.

“Ish…. Awak ni, kalau sehari tak minum minuman kanak-kanak tu memang tak boleh kan,,” Erlisa membesarkan mata kepada Elhan. Tergelak Elhan dibuatnya. Sempat lagi dia mencuit pipi gebu kekasihnya itu.

“Lisa ni, dah la muka tak berapa nak cantik, marah-marah aje… Makinlah tak cantik..” gurau Elhan yang jalan membelakang ke arah keretanya.

“Ye laaa… Kalau tak cantik kenapa ada orang tu malam-malam sibuk nak dok bergayut manja-manja. Dasar lelaki plastik, propa.. Tak layan nanti merajuk. Dah laa setiap kali merajuk nak belikan Ribena.” Erlisa menjawab sambil menggeleng-geleng kepalanya. Ikatan rambutnya diperkemas sebelum masuk ke dalam kereta.

Kereta Persona hitam itu meluncur laju dari perkarangan perpustakaan. Radio dihidupkan dengan volume sederhana. Suasana riuh dengan gelagat Elhan menyanyi di dalam kereta disahut dengan gelak tawa Erlisa yang geli hati melihat Elhan yang menyanyi penuh emosi itu.

Erlisa bersuara, memecahkan suasana yang bingit dengan suara Elhan bernyanyi riang. “Han nak buat apa nak ke kedai buku ni? Tak pernah-pernah ajak pergi sebelum ni,” tenang Erlisa menuturkan bicaranya.

Melihat Elhan yang sengaja mengendahkannya itu, Erlisa menekan sedikit suaranya. “Han,,,, dengar tidak Lisa tanya ni.. Dah dah laaa menyanyi tu, tak malu ke orang lain tengok.” Ujarnya sambil memanjangkan penglihatannya ke luar melihat pemandu luar, mana tahu ternampak gelagat Elhan yang tidak duduk diam itu.

“Dengar sayang…. Alaaaa… Tak boleh ke Han nak pergi kedai buku? Nak beli barang laa sayang, takkan isi minyak kot… Apalah Lisa ni…” gurau Elhan di samping memfokuskan pandangannya ke jalan.

“Yala… Sebelum ni tak pernah pula nak pergi, tiba-tiba je. Ada apa-apa tidak ni? Erlisa menunjukkan muka curiga.

“Oppsss… Kalau dah tahu baguslaaa…. Memang tak salah orang laa Han pilih ni, fikiran Han pun awak boleh baca... Sudi tidak berkenalan dengan buah hati terbaru Han?” Han mengenyitkan mata dan mengerling ke arah wajah Erlisa yang sudah mencebikkan bibir itu.

Erlisa merenung tajam wajah Elhan, “Kalau macam tu buat apa nak ajak saya pulak, buang masa aje.. Kang tak sudah-sudah Lisa pukul pulak buah hati awak tu,” kedengaran rajuk suara Erlisa.

Meletus gelak Elhan saat itu yang memandang Erlisa yang sudah muncung sedepa itu. “Aik? Tak nak ikut ke,,, Betul ni? Kalau macam tu….”

Elhan tidak menghabiskan ayatnya sebaliknya memasang signal lantas membelok ke kiri apabila kereta di sebelahnya memberi laluan lalu menghentikan kereta di bahu jalan. Erlisa terpinga-pinga tidak mengerti.

“Sayang boleh turun sini, Encik Elhan nak keluar dating,, silakan,”
Elhan memaniskan mukanya kepada Erlisa. Mencerlung mata Erlisa dibuatnya. 

“Elhan, awak jangan nak cabar saya tau,, Kalau awak tak sudi, saya sejuta kali tak sudi. Saya keluar sekarang juga,” tanpa berlengah, Erlisa mencapai tas tangannya dan memalingkan tubuhnya untuk keluar. Baru sahaja dia ingin membuka pintu kereta, Elhan terlebih dahulu mencapai tangannya. 

“Erlisa, nak ke mana tu? Nak tinggal Han yaa.. Han gurau je laa… Sayang ni, macam dah tak boleh bergurau pulak dengan Han.. Han kan dah bagitau nak beli barang,” pujuk Elhan sambil mengusap lembut tangan gadis yang dicintainya itu.

Erlisa merenggus geram dan menarik tangannya. Merajuk gamaknya. Tersenyum Elhan dibuatnya. “Erlisa,” panggil Elhan. Nampak selamba tapi cemburu juga wanita bernama Erlisa ni. Dah namanya perempuan, getus hati Elhan. 

“Erlisa,” Elhan menekan sedikit suaranya. “Tengoklah Han. Han nak cakap ni,” Elhan membongkokkan badannya ke hadapan untuk melihat riak Erlisa.

Erlisa memalingkan muka dan membatu, lagak seperti tidak berperasaan. Kedengaran Elhan mendengus. “Okay, fine. Kalau Lisa tak nak tengok Han, tak nak dengar cakap Han, Han je la yang keluar,” Elhan membuka tali pinggang keselamatannya dan mengambil telefon bimbitnya di bawah gear seraya membuka pintu.

Erlisa yang membatu sedari tadi terkejut, memalingkan muka dan menggenggam kejap lengan Elhan. “Elhan,” menarik lengan Elhan sehingga jejaka itu terduduk. “Gurau pun, tak boleh. Nanti kat kedai buku Lisa belanja Han buku cara-cara nak memujuk perempuan. Han selalufail,” manja Erlisa berbicara dan tersenyum manis apabila Han memandang wajahnya.

Dengan senyuman yang bisa menggetarkan naluri kasih mana-mana gadis melihatnya, Elhan mengeyitkan mata. “Haaaa… Tahu takut.. Jangan cabar Han,” selamba Han mengenakan Erlisa.

Erlisa tergelak dan memakaikan Han tali pinggang keselamatan. “Cepatlaahh Han, dah lambat ni… Nanti nak makan lagi,” aju Erlisa sebelum memperkemas duduknya.

Elhan memandangnya, tersenyum dan memulakan pemanduannya. “BaikMam. Belum kahwin dah pandai arah-arah. Apalah nasib si Elhan arjuna satria ni,” berseloroh sebelum mereka berdua meletus dengan gelak tawa. Gembira.

Selepas 20 minit, mereka sampai ke kedai buku yang ingin dituju. Elhan membuka pintu dan memberi ruang kepada Erlisa untuk masuk. Kelihatan dua orang pekerja di kaunter berdiri dan menghadiahkan senyuman sambil membongkokkan sedikit badan sebagai tanda hormat menerima kunjungan pelanggan.

Elhan melihat sekeliling. Erlisa yang berada di sebelahnya memeriksa telefon bimbit. “Lisa, Han nak ke area buku rujukan tu, Lisa tengoklah mana-mana, nanti cari Han kat situ yer,” kata Elhan sambil mencuit Erlisa yang khusyuk membalas pesanan ringkas. “Boleh tidak ni?” tanya Elhan.

Erlisa berhenti membalas pesanan ringkas dan memandang tenang wajah Elhan. “Okay, pergilah.. Jangan mengorat tau,” Erlisa tersenyum dan membesarkan matanya sebagai tanda amaran.

“Tang tu Han tak janji,” seloroh Elhan sebelum berlalu pergi. Erlisa hanya mampu mencemikkan muka dan bergerak ke rak novel cinta melayu kegemarannya.
Elhan meneliti satu per satu buku yang tersusun rapi di rak buku bahagian sains ini. Tak cukup dengan mata memerhati, jarinya juga menyentuh dari satu buku ke buku yang lain.

Mulutnya terkumat kamit menyebut jenis buku yang dicarinya. “Molecular techniques.. molecular…. Ehmmm,” bibirnya berhenti menyebut judul buku yang dikehendakinya tatkala terpandang buku berwarna putih hijau yang tebal.

“Haaaa…. Jumpa pun… Molecular Techniques and experimental design Volume 2,” gamitnya sebelum tersenyum riang dan berlalu pergi mencari Erlisa.

Elhan mencari Erlisa dari satu rak ke satu rak lain. Sehinggalah terserempak dengan Erlisa di rak buku novel melayu. Gembira benar gamaknya. Sampai tak sedar Elhan sedari tadi memerhatinya.

“Ehem… Kekasih ada kat sebelah pun tak sedar.. Ish.. Ish… Ish… Minah novel betullah Lisa ni…” sindir Elhan bersahaja lalu menghampiri Erlisa yang masih tekun memburu novel kegemarannya.

“Bukan tak sedar, tengah fokus ni.. Han ni, kecohlaa… Lari fokus Lisa tau,” Erlisa berpindah ke rak buku terakhir di ruangan novel itu.

            “Sayang, apa bestnya baca novel cinta ni?” tanya Elhan.

“Han tu hati batu memang laa rasa tak best. Novel ni sebenarnya lebih kepada permainan perasaan. Kita merasai sesuatu perkara yang kita tak boleh lalui dalam realiti. Haaa tu yang tak tahan tu,” terang Erlisa bersungguh-sungguh.

“Kalau Han nak rasa jadi Playboy,  maksudnya Han boleh laa kan baca novel pasal lelaki mata keranjang, baru rasa pengalaman tu. Mesti Bestkan?”

“Amboi Elhan. Macam berhajat Nampak. Tak payah nak baca novel, sekarang pun Han boleh buat kalau Han nak.” Tenang Erlisa membalas kenyataan Elhan.

“Eleh, Lisa tu.. Cakap aje besar. Tadi pun dah tarik muka 2 km, inikan pula bagi Han try betul-betul,”

Matanya masih tertancap melihat barisan judul novel. Lambat dia membalas. “Kalau Han boleh, Lisa pun sejuta kali lagi boleh Han. Boleh je Lisa cek balik que jejaka dalam waiting list Lisa ni. Zainal, Amirul, Rayyan. Haaaa… Banyakkan,” serangan balas dari Erlisa. Senyap, tidak berbalas.

Sebaik saja Erlisa mengalihkan pandangannya. Elhan sudah tertunduk, bungkam tanpa kata membelakangi Erlisa.Erlisa terkedu. Takkan cemburu kot. Gurau ajelah Elhan ku sayang.

“Elhan, kenapa ni?” tanya Erlisa perlahan.

Elhan tidak membalas, apatah lagi ingin memandang Erlisa.

“Lisa minta maaf. Lisa gurau je. Bukan betul pun. Semua tu nama hero-hero novel je. Elhan…” Erlisa menekan suaranya.

Elhan memusingkan badannya sambil tangannya memegang telefon. Membalas pesanan. Elhan tersenyum memandang Erlisa.

            “Dah siap pilih? Jom bayar.” Ajak Elhan.

“Han tak dengar ke Lisa cakap apa tadi?” tanya Erlisa yang masih tergamam. Boleh pulak saat dirinya yang tengah layan syahdu memujuk, Elhan bermain telefon. Elhan.. Elhan.. Erlisa tersenyum.

“Lisa nie kenapa.. Mengelamun pulak.. Ingat boyfriend laa tuu.. Han tak dengar apa pun, cek handphone tadi. Dah dah… Jom bayar,” jelas Elhan.

Erlisa hanya tersenyum lantas mengikuti langkah Elhan menuju ke kaunter pembayaran. Erlisa melirik ke arah rak bertentangan yang dikunjunginya. Seorang pekerja kedai tersebut tersengih-sengih melihatnya.. Haaa… Sudah.. Kantoi ke melalut tadi. 

            “Erlisa, cepatlah. Nak bayar dah ni,” Elhan memanggil.
            “Sorry… Sorry… I’m coming.”

SINOPSIS NOVEL KALAU AKU PILIH DIA [KAPD]



SINOPSIS NOVEL KALAU AKU PILIH DIA [KAPD] 

Siapa sangka kasih yang terjalin atas dasar cinta antara Elhan dan Erlisa terkandas tanpa alasan yang pasti. Erlisa bungkam tanpa kata ditinggalkan Elhan. Cinta yang disemai dicarik-carik sehingga terlalu sukar untuk dicantum semula.

Erlisa hilang separuh jiwanya. Separuh lagi hatinya sesal kerana cinta yang diharapkannya untuk dipatri tidak kesampaian. Hatinya terlalu sakit. Hidupnya seperti tidak bernyawa. Hidupnya direntap secara tiba-tiba.


Elhan menyimpan rahsia yang tidak mampu diungkapkannya. Rahsia yang menuntutnya untuk melupakan Erlisa. Terpaksa. Apa pun rencahnya, mereka tak mungkin akan bersama. Demi kasihnya, Elhan merencana kebahagiaan Erlisa. Meskipun dia tahu dia akan terluka. Parah!


Apakah rencana Elhan? Mengapakah dia meninggalkan Erlisa? Apakah takdir yang berat untuk diterimanya?


Meskipun sudah bertahun mengharap kasih Erlisa. Hardie Haikal tidak mengambil kesempatan, sebaliknya dia yang berjaya mengembalikan sekelumit naluri cinta untuk dirasai Erlisa. Janjinya membahagiakan Erlisa membawanya ke luar negara untuk mencari jawapan yang tidak terjawab bagi Erlisa.


Kalau jodoh tak ke mana. Erlisa terpaksa menerima lamaran lelaki yang tidak pernah dikenalinya, Ikhram. Erlisa tahu dia tidak mungkin akan bahagia. Namun, bagi menjaga hati keluarganya yang sentiasa menyayanginya, Erlisa menyerah kepada takdir yang mengikat jodohnya.


Ketenangan Ikhram melayari rumah tangga bersama Erlisa mengubat sedikit demi sedikit luka di hati Erlisa. Meskipun banyak yang perlu dikorban. Pertahanan kesabaran Ikhram menerima Erlisa sepenuh hati menggoyahkan harapan Erlisa dengan cinta pertamanya.


Adakah harapan Ikhram untuk memiliki cinta Erlisa sepenuh hati menjadi realiti?


Elhan kembali untuk menceritakan kekalutan yang diciptanya. Bagaimanakah penerimaan Erlisa apabila mengetahui Ikhram dan Elhan adik beradik? Adakah Elhan redha cinta pertamanya menjadi milik hakiki abangnya? Adakah Ikhram akan mengundur diri demi kasih yang dirasakan bukan miliknya? Mengapa Ikhram yang dipersalahkan?


Ceritera cinta mereka diasak dengan pelbagai permainan perasaan yang terbias oleh waktu dan keadaan. Kebenaran demi kebenaran terbongkar. Erlisa keliru dengan perasaannya. Mengapa saat hatinya sudah mula melupuskan Elhan dan pasrah menerima Ikhram diuji? Dia harus memilih.


Adakah pengorbanan Elhan berbaloi? Adakah rumahtangga Ikhram dan Erlisa bertahan? Siapakah yang patah hati? Siapakah pula di antara mereka kuat untuk mematahkan hati?


Cinta atas cinta!
  

Wednesday, 2 July 2014

Derita Seorang Perindu

Dalam kelam malam yang gelita,
Seorang perindu merintih kasih pada yang sudi,
Bukan untuk mengemis kasih,
Bukan juga untuk meraih simpati pada yang sudi,

Tetapi,
Hanya sekadar untuk memberi sedikit kasih,
Bukan niat untuk menambah sangsi,
Jauh sekali untuk mensasar jati diri,
Bukankah hati mematri kerana Ilahi?,
Untuk menjaga sekeping hati.

Mungkin,
Hari ini  kau masih tidak mengerti,
Betapa maha suci maksud hati ini,                                                                            
Berkongsi hati untuk kau jaga diri,
Berkongsi rasa untuk menyayangi,
Dan secebis ihsan untuk disayangi,
Bila mungkin kau akan mengerti?

Ya,
Jauh dan dalam sekali ku sembunyi rasa ini.
Derita yang hanya ku rasai sendiri,
Kerana kau tak sudi untuk mendengari,
Apa alasan disebalik semua ini.

Tidakkah,
Kau cuba untuk mengerti,
Kau cuba untuk memahami,
Apa rasanya merindui,
Lebih lebih lagi pada yang tak sudi.

Keluh resah hati ini,
Entah siapa yang peduli,
Kerana aku hanya seorang perindu,
Perindu yang derita.

12:27 [3 Julai 2014]
Dari jauh si derita ini mengirim doa




Assalamualaikum dan salam sejahtera.....

Memulakan tirai perkenalan selaku penulis baharu di laman ini. Mohon untuk memperkenalkan diri. Mengabdikan diri sebagai Mohd Asril Bin Sharil yang selamat dilahirkan pada 31 Julai 1993. Tahun ke 21 bernafas di muka bumi pinjaman ini. Lahir dari sebuah keluarga sempurna dan sederhana, ALHAMDULILLAH. Anak sulung daripada 4 adik beradik, semua lelaki. Memikul tanggungjawab besar sebagai pengemudi tamsilan buat adik-adik.  

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Petagas sehingga darjah 6 sebelum mendaftar sebagai pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tansau. Di sinilah tempat diri ini membentuk karakter, memperkasa jati diri, mula mengenal erti hidup.  Sepanjang lima tahun menuntut, pelbagai memori manis tercipta. Di sinilah mengasah bakat sebagai pemidato, penulis, pendebat, pemimpin dan insan yang selalu diberi kepercayaan. Alhamdulillah.

Usai pendidikan sekunder, melanjutkan pelajaran ke Kolej Matrikulasi Labuan, modul 3 (berpindah dari modul 1), kelas BC1T03. Meskipun hanya setahun menyemai bibit-bibit indah bersama rakan taulan, tetapi diri ini masih gagal menyeka cermat air mata yang berjuraian, kerinduan pasti. Zaman Matrikulasi  berlalu dengan jayanya, ALHAMDULILLAH, berjaya ditawarkan untuk menuntut di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan jurusan yang dipilih sendiri. Sains Biologi.

Di alam universiti, ketawanya lain. kepayahan dan tangisannya berlagu tidak seperti dulu kala. Tetapi manisnya lebih dari sejuta kemanisan yang tercipta sebelum ini. Di universiti bergiat aktif dalam dunia perdebatan, kepimpinan dan penganjur program. Meminati bidang penyelidikan molekular, DNA REKOMBINAN. Setiap insan ada minat yang tersendiri, begitu juga saya.

Semoga laman ini dijadikan medium perkongsian dari hati ke hati. Ilmu, emosi, isu semasa, detik-detik manis dan sebagainya. Semoga bertamu di entri kan datang.

x