Assalamualaikum dan salam sejahtera.....
Memulakan tirai perkenalan selaku penulis baharu di laman ini. Mohon untuk memperkenalkan diri. Mengabdikan diri sebagai Mohd Asril Bin Sharil yang selamat dilahirkan pada 31 Julai 1993. Tahun ke 21 bernafas di muka bumi pinjaman ini. Lahir dari sebuah keluarga sempurna dan sederhana, ALHAMDULILLAH. Anak sulung daripada 4 adik beradik, semua lelaki. Memikul tanggungjawab besar sebagai pengemudi tamsilan buat adik-adik.
Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Petagas sehingga darjah 6 sebelum mendaftar sebagai pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tansau. Di sinilah tempat diri ini membentuk karakter, memperkasa jati diri, mula mengenal erti hidup. Sepanjang lima tahun menuntut, pelbagai memori manis tercipta. Di sinilah mengasah bakat sebagai pemidato, penulis, pendebat, pemimpin dan insan yang selalu diberi kepercayaan. Alhamdulillah.
Usai pendidikan sekunder, melanjutkan pelajaran ke Kolej Matrikulasi Labuan, modul 3 (berpindah dari modul 1), kelas BC1T03. Meskipun hanya setahun menyemai bibit-bibit indah bersama rakan taulan, tetapi diri ini masih gagal menyeka cermat air mata yang berjuraian, kerinduan pasti. Zaman Matrikulasi berlalu dengan jayanya, ALHAMDULILLAH, berjaya ditawarkan untuk menuntut di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan jurusan yang dipilih sendiri. Sains Biologi.
Di alam universiti, ketawanya lain. kepayahan dan tangisannya berlagu tidak seperti dulu kala. Tetapi manisnya lebih dari sejuta kemanisan yang tercipta sebelum ini. Di universiti bergiat aktif dalam dunia perdebatan, kepimpinan dan penganjur program. Meminati bidang penyelidikan molekular, DNA REKOMBINAN. Setiap insan ada minat yang tersendiri, begitu juga saya.
Semoga laman ini dijadikan medium perkongsian dari hati ke hati. Ilmu, emosi, isu semasa, detik-detik manis dan sebagainya. Semoga bertamu di entri kan datang.
x
No comments:
Post a Comment