Thursday, 31 July 2014

SINOPSIS NOVEL KALAU AKU PILIH DIA [KAPD]



SINOPSIS NOVEL KALAU AKU PILIH DIA [KAPD] 

Siapa sangka kasih yang terjalin atas dasar cinta antara Elhan dan Erlisa terkandas tanpa alasan yang pasti. Erlisa bungkam tanpa kata ditinggalkan Elhan. Cinta yang disemai dicarik-carik sehingga terlalu sukar untuk dicantum semula.

Erlisa hilang separuh jiwanya. Separuh lagi hatinya sesal kerana cinta yang diharapkannya untuk dipatri tidak kesampaian. Hatinya terlalu sakit. Hidupnya seperti tidak bernyawa. Hidupnya direntap secara tiba-tiba.


Elhan menyimpan rahsia yang tidak mampu diungkapkannya. Rahsia yang menuntutnya untuk melupakan Erlisa. Terpaksa. Apa pun rencahnya, mereka tak mungkin akan bersama. Demi kasihnya, Elhan merencana kebahagiaan Erlisa. Meskipun dia tahu dia akan terluka. Parah!


Apakah rencana Elhan? Mengapakah dia meninggalkan Erlisa? Apakah takdir yang berat untuk diterimanya?


Meskipun sudah bertahun mengharap kasih Erlisa. Hardie Haikal tidak mengambil kesempatan, sebaliknya dia yang berjaya mengembalikan sekelumit naluri cinta untuk dirasai Erlisa. Janjinya membahagiakan Erlisa membawanya ke luar negara untuk mencari jawapan yang tidak terjawab bagi Erlisa.


Kalau jodoh tak ke mana. Erlisa terpaksa menerima lamaran lelaki yang tidak pernah dikenalinya, Ikhram. Erlisa tahu dia tidak mungkin akan bahagia. Namun, bagi menjaga hati keluarganya yang sentiasa menyayanginya, Erlisa menyerah kepada takdir yang mengikat jodohnya.


Ketenangan Ikhram melayari rumah tangga bersama Erlisa mengubat sedikit demi sedikit luka di hati Erlisa. Meskipun banyak yang perlu dikorban. Pertahanan kesabaran Ikhram menerima Erlisa sepenuh hati menggoyahkan harapan Erlisa dengan cinta pertamanya.


Adakah harapan Ikhram untuk memiliki cinta Erlisa sepenuh hati menjadi realiti?


Elhan kembali untuk menceritakan kekalutan yang diciptanya. Bagaimanakah penerimaan Erlisa apabila mengetahui Ikhram dan Elhan adik beradik? Adakah Elhan redha cinta pertamanya menjadi milik hakiki abangnya? Adakah Ikhram akan mengundur diri demi kasih yang dirasakan bukan miliknya? Mengapa Ikhram yang dipersalahkan?


Ceritera cinta mereka diasak dengan pelbagai permainan perasaan yang terbias oleh waktu dan keadaan. Kebenaran demi kebenaran terbongkar. Erlisa keliru dengan perasaannya. Mengapa saat hatinya sudah mula melupuskan Elhan dan pasrah menerima Ikhram diuji? Dia harus memilih.


Adakah pengorbanan Elhan berbaloi? Adakah rumahtangga Ikhram dan Erlisa bertahan? Siapakah yang patah hati? Siapakah pula di antara mereka kuat untuk mematahkan hati?


Cinta atas cinta!
  

No comments:

Post a Comment