BAB 5
“Ye….. Wawa dah tanya dia tadi..”
“Agak-agak dia tukar colour tak last-last minit?” Persoalan yang
berlegar di mindanya terpacul jua.
“Tak kot. Dia dah siap iron baju dia warna biru tu, so
Cik Erlisa awak tu akan pakai biru..” Terang Najjwa yang membantu Haikal
menanyakan warna baju Erlisa malam nanti.
“Ok laa, kalau macam tu… Terima kasih, Wa..” Ceria
suara Haikal. Sudah pasti tidak keruan menanti malam.
Haikal merancang kejutan untuk Erlisa. Dia mahu
mereka sedondon malam ini. Mujur ada Najjwa yang membantunya untuk mengetahui
warna baju yang akan dipakai Erlisa kenduri nanti.
Meskipun dia tahu serangan peribadi dan sindiran
manja dari keluarganya akan menerobos, setidaknya semua itu membuatnya senyum.
Mungkin sinar bahagia? Igauannya larut di hujung talian.
“Haikal,” sayup suara Najjwa di hujung talian.
“Ya?” Sahut Haikal.
“Wawa nak cakap sikit. Boleh?”
“Aik? Mestilah boleh. Sejak bila pula tanya nak kena
izin ni?” Haikal ternanti-nanti persoalan yang bermain di benak fikiran Najjwa.
“Wawa bukan nak masuk campur. Tapi, kita kan kawan…
Wawa sayang semua kawan wawa,” tulus sentuhan bicara hatinya.
“Wawa cakap apa ni… Cuba cakap terang-terang.. Saya
tak faham kalau kias-kias ni..” Haikal mengangkat tubuhnya yang tadi bersandar.
Perasaan ingin tahunya membuak.
“Emmm…. Awak tahu kan Lisa dah ada teman lelaki?”
Teragak-agak, sama ada mahu menghabiskan pertanyaan itu atau biar ia
tergantung.
Haikal tidak menjawab. Kedengaran helahan nafasnya.
Seakan berfikir dan mencari jawapan kepada persoalan yang sudah lama bersarang
di hati. Adakah dia mempunyai jawapan yang ampuh? Dan adakah dia kuat untuk menerima kenyataan
itu?
“Saya tahu… Tapi,,,” ringkas jawapannya, tidak
sempat dia meniti ayat terakhir, Najjwa lantas memotong.
“Sampai bila awak nak menunggu Lisa, Haikal?” Najjwa
jelas bersimpati dengan Haikal.
“Awak tak faham Wa… Saya pun tak tahu nak cakap
macamana,” Haikal mengeluh. Meraup wajahnya lalu berdiri menghadap tingkap.
“Kenapa awak tak bagi peluang dengan orang lain?
Kenapa awak tak buka hati awak untuk terima orang lain?” Najjwa sebal kerana
Haikal mencintai Erlisa tanpa mengira perasaannya sendiri.
“Orang lain tak sama macam Lisa, Wa. Tak sama dan
tak akan sama..” Haikal sudah tersandar di dinding. Menahan sebak di dadanya.
“Memang tak sama… Perasaan awak dengan dia pun tak
sama macam mana awak rasa dengan orang lain… Tapi awak jangan lupa, perasaan
Lisa dengan awak tetap sama. Sebagai kawan. Janganlah seksa diri awak macam ni
Haikal,” entah mengapa Najjwa sungguh prihatin dengan perasaan Haikal.
“Selagi ada masa, selagi tu saya cuba, Wa… Andai
kata satu hari nanti dia sah jadi milik orang lain, saya pasrah..
Kebahagiaan dia kebahagiaan saya juga. Walaupun……” Lirih sungguh suaranya.
Menerkam kalbu, serasa dicarik halus hatinya.
“Walaupun kebahagiaan itu tak sama kalau awak yang
bersama dia?” Haikal tersentak seketika. Terasa jantungnya disentap rakus. Dia
tidak menyangka dia mengharap cinta Erlisa sebegini rupa.
“Haikal, awak fikirlah mana yang baik untuk awak.
Saya tetap akan sokong. Okay?” Najjwa
kembali tenang. Dia tidak mahu menambah cakar dihati Haikal.
Lambat Haikal membalas. “Terima kasih, Wa.”
“Haikal.” Najjwa menyahut nama sahabatnya itu sekali
lagi.
“Ya?” Haikal menjawab lemah.
“Mungkin selama ini awak lupa, ada orang lain yang
megharap awak macam awak mengharap Lisa. Sudah tiba masanya awak berpaling
arah. Mungkin di situ bahagia yang awak cari. Awak cuma perlu percaya .” Najjwa
menuturkan kata hatinya. Berderaian air matanya. Sukar untuk dia menilai
tangisan itu. Apa maksud tangisan itu?
“Assalamualaikum,” Najjwa segera menamatkan
panggilannya.
“Wa’alaikumsalam.” Haikal terkial-kial mencari makna
di sebalik kata-kata Najjwa sebentar tadi. Bergetar jua tangkai hatinya namun
jauh sekali mampu menggugurkan nama Erlisa, buah hatinya.
Hatinya yang dihimpit dengan pelbagai persoalan kian
menyesakkan fikirannya. Haikal turun ke bawah untuk melihat persiapan kenduri
malam ini. Kelihatan pekerja-pekerja katering sibuk mendirikan kanopi dan
menyediakan meja untuk tetamu.
Hardie Haikal mencapai kunci keretanya dan meluru
pergi dari perkarangan rumahnya. Dia ingin merungkai kekusutan yang berlaku di
benak fikirannya. Erlisa, mengapa kau terlalu istimewa?
“Hardie, Lisa tanya, awak ada terambil buku dia tak
masa korang dua terlanggar minggu lepas?” Soal Najjwa.
“Lisa? Kenapa dia tak tanya saya sendiri?” Jawab
Hardie Haikal selamba, mengerutkan dahi.
“Lisa ada kat mana?” Bertubi-tubi dia menyoal.
“Errr….. Lisa ada kat luar…. Emmm sebenarnyaa dia
malu… A’aahh.. Dia malu…” Bergetar suaranya menjawab soalan Hardie Haikal.
“Bagitahu Erlisa, kalau nak buku dia, suruh minta
sendiri… Apa nak malu, kita kan sekelas,” Sempat lagi Haikal mengenyitkan matanya.
Entah mengapa Najjwa berlari tak tentu hala melihat
Hardie mengenyitkan mata tadi. Dia seolah-olah dikejar halilintar. Cemas.
Hardie Haikal hanya menggeleng dan tergelak ringan melihat gelagat Najjwa.
Segaris senyum tercoret dibibirnya.
“Haikal….” Perlahan suara itu
memanggilnya.
Hardie Haikal tidak pasti. Dia tersalah dengar atau
memang namanya dipanggil. Sayup kedengaran dari halwa telinganya. Lebih-lebih
lagi nama belakangnya yang dipanggil, Haikal. Sedangkan semua rakan
universitinya memanggil dia dengan panggilan nama hadapan, Hardie. Dia
meneruskan kerjanya.
“ Ehmm… Haikal,” Kedengaran perlahan, tetapi lebih
kuat berbanding tadi.
Dia menoleh ke belakang. Dia terperanjat melihat
seorang gadis separa tunduk berdiri dibelakangnya, Erlisa.
“Eh, awak… Ingat siapa tadi… Nak jumpa saya ke?”
Hardie Haikal tersenyum.
Erlisa mengangguk lemah.
“Saya nak ambil buku saya. Awak ada bawa?”
Teragak-agak mengangkat wajahnya.
“Ada. Awak duduklah dulu. Saya nak ambil kat luar.”
Hardie Haikal menunjukkan kerusi di depannya sebelum berdiri.
Erlisa yang kalut dan malu terpaksa membawa dirinya
untuk duduk. Melihat Hardie Haikal yang berlalu pergi melegakan sedikit
perasaan gemuruhnya. Tanpa diduga, Hardie Haikal berpatah arah, kembali
kepadanya. Erlisa tergamam.
“Lisa, kenapa panggil saya Haikal?” Pelik
intonasi suaranya.
“Awak patah balik sebab nak tanya tu aje?” Erlisa
seolah tidak percaya.
“Tahu tak, awak orang pertama panggil saya Haikal
kat sini?” Tepat pandangan matanya memandang Erlisa.
Erlisa melarikan pandangan matanya.
“Tak boleh ker saya panggil Haikal, saya tak suka
panggil Hardie..” Erlisa semakin berani menutur bicaranya dengan Hardie Haikal.
“Boleh tu boleh. Tapi, orang yang penting-penting je
panggil saya Haikal…” Erlisa sudah tertunduk malu.
“Kalau saya ni penting, panggil aje Haikal..” Serasa
meletup jantung Erlisa mendengar bait-bait kata Haikal. Dia terus membatu.
Namun, dia gagahi juga untuk berbicara.
“Awak, pergilah ambil buku saya…” Pandangan matanya
sudah tidak berani singgah di kamar mata Hardie Haikal.
Erlisa menyandarkan tubuhnya. Menutup rapat matanya.
Seakan tidak percaya apa yang dilaluinya. Dia menepis debar di hatinya. Hardie
Haikal pula tidak habis senyumannya. Hatinya berbunga riang. Pandangannya hanya
terlihat Erlisa.
Bermula detik inilah hatinya degil untuk terus
mencintai Erlisa. Dia melayang melayan perasaannya. Terimbau memori awal
perkenalannya dengan Erlisa sudah cukup membawa musim bunga di hatinya. Mekar.
Belum lagi memiliki gadis yang dicintainya itu.
“Tok.. Tok… Tok…” Kedengaran ketukan dari cermin
kereta. Tiada respon.
“Tokk.. Tokkk…” Semakin kuat ketukannya. Di luar
kedengaran hon kereta dibunyikan. Barisan kereta pula semakin panjang.
Hardie Haikal tersedar tatkala terdengar sahutan hon kereta dan ketukan dari cermin
keretanya. Cermin keretanya diturunkan. Boleh pula Haikal mengelamun kisah
lampaunya di atas jalan raya. Kesudahannya, semua kereta di belakang tidak
dapat meluncur.
“Encik, ada apa-apa ker?” Tanya seorang pemuda yang
berdiri betul-betul di hadapan cermin keretanya.
“Ahhh… Minta maaf encik.. Saya tak apa-apa.” Sempat
lagi dia memandang belakang. Dia mengucap panjang apabila melihat deretan
kereta menanti di belakangnya. Rasa bersalah lantas bersarang di hatinya.
“Cinta punya pasal….. Macam ni pun boleh… Lisa..
Lisa..” Hardie Haikal menggeleng.
Meskipun
hanya bersandarkan kenangan masa lalu, Haikal tetap bahagia. Perasaannya
terhadap gadis bernama Erlisa tidak pernah padam. Bahkan, ia semakin menebal
saban hari. Benarlah, cinta itu buta, lagi membutakan.
***
*** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** ***
Luruh
jantungnya melihat kelibat lelaki itu di hadapan pagar rumah. Asakan persoalan
kian meresahkan benak fikiran Erlisa. Dia kehilangan punca. Tidak tahu alasan
disebalik kehadiran Haikal.
“Haikal….. Awak buat apa datang rumah ni?” Erlisa
separuh berbisik.
“Saja… Nak tengok awak…” Haikal tersengih.
“Eeeee awak ni…. Malam nanti kan jumpa juga…”
“Itu malam….. Pagi, petang.. Tak ade…” Haikal
meletakkan tangan kanannya di pagar.
“Awak ni.. Mulalah nak buat hal tau… Nanti ibu
nampaklah…. Tak manis..”
“Baguslah ibu awak nampak… Memang nak jumpa ibu
awak. Panggillah ibu awak…”
Haikal meninjau ke dalam rumah Erlisa. Erlisa
menghalang dengan mendepakan tangannya. Lagak seperti bermain galah panjang.
Erlisa terloncat apabila ibunya melaungkan namanya
dari dalam rumah. Lantas dia menolak Haikal untuk beredar. Haikal membatu diri
untuk terus kekal menunggu di hadapan rumah. Kelakar sungguh melihat Erlisa
yang cemas.
“Haikal…. Please……….”
Erlisa merayu sambil menolak tubuh Haikal.
“Tak nak…” Haikal memeluk tubuh.
“Kalau awak degil, saya tinggal awak kat sini. Bye!” Erlisa sudah berpaling.
“Awak memang selalu tinggalkan saya pun. Tak
heran..” Haikal masih berpeluk tubuh sambil menggeleng-geleng kepalanya.
“Awak degil!” Erlisa meneruskan langkahnya ke dalam
rumah.
Ibunya yang muncul di muka pintu seakan-akan singa
lapar pada pandangan Erlisa. Dia menjadi tidak keruan. Terkejut!
“Aik.. Kamu ni kenapa Lisa. Cemas semacam.. Siapa
datang tuu…”
“Haaa.. Tak ada siapa ibu.. Ibu masuklah….” Erlisa
memimpin lengan Ibunya.
“Assalamualaikum Aunty…..”
Haikal terjojol dari pintu pagar. Tersenyum gembira. Erlisa pula sebaliknya.
“Haaa… Haikal… Sampai pun kamu.. Jemput masuk, nak…”
Sempat lagi ibunya mengerling anak gadisnya.
“Lisa ni… Kenapa tak jemput Haikal masuk….”
Menyentuh lembut pipi Erlisa yang sudah merah padam.
“Mujurlah kamu datang Haikal.. Takut tak sempat…”
Puan Anisah sudah meluru ke depan pagar untuk menjemput Haikal.
Erlisa tergumam tanpa kata. Dia tidak mengerti apa
yang sedang berlaku. Sempat lagi dia melihat Haikal tersengih kepadanya sebelum
masuk ke dalam rumah.
“Lisa, buatkan air untuk tetamu ni.. Boleh pulak dia
biar kamu lat luar panas-panas tu Haikal.” Puan Anisah rasa kelakar melihat
kegugupan Erlisa. Sebenarnya dia sudah lama mengintai, sebaik sahaja loceng
rumahnya ditekan.
“Dia ingat saya nak datang meminang kot Aunty.” Haikal berbahasa. Gamat ruang
tamu itu dibuatnya.
Erlisa
dengan perasaan mendongkol beredar ke dapur untuk membuat air. Amboi… Bukan
main nak bermesra-mesra ya Encik Haikal. Tadi masa awak, sekarang ni masa saya pulak. Mengada betullah lelaki ni!
“Kenapa dia datang rumah eh?”
Persoalan yang ditanyakan kepada dirinya sendiri.
Itu soal kedua. Fokus utama sekarang, kita dera
deria rasa lelaki yang degil dekat luar tu.
“Bukan main lagi nak bodek-bodek ibu… Haaa… Nak
meminang sangatkan.. Tengok lepas ni, nak pinang ke atau nak cincang aje aku
ni,” bancuhan air tehnya sengaja diletakkan 5 sudu garam. Puas hatinya!
“Kalau dia complain
kenapa masin… Tahulah aku apa nak jawab… Gula di rumah ni, habis aku makan, sebab tu muka
aku manis,” sempat lagi, masuk bakul yang diangkat sendiri.
Dengan perasaan yang puas dan
senyuman paling manis, Erlisa menghidangkan teh istimewa itu kepada Haikal.
Rasakan!
No comments:
Post a Comment